Sunday, November 27, 2011

Jawatan JUSA, Turus akan diubah

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Skim jawatan utama atau premier perkhidmatan awam, peringkat JUSA dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.

Dengan cadangan itu bermakna, mana-mana pekerja sektor swasta yang berminat mengisi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dari JUSA C dan sehingga ke peringkat tonggak, Turus boleh berbuat demikian.

Utusan Malaysia difahamkan, jawatan yang terbabit boleh menjangkaui sehingga ke kedudukan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) sesebuah kementerian. 

KSU yang berada dalam kategori JUSA tertinggi dan Turus adalah sama seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat korporat.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada pengisian jawatan-jawatan tertinggi itu akan mengambil kira kouta berdasarkan kaum.

Satu taklimat kepada pegawai-pegawai peringkat utama dan ke atas telah dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) minggu lalu.

Difahamkan ia adalah sebahagian daripada program transformasi dalam perkhidmatan awam. Di bawah program itu Skim Saraan Malaysia (SSM) akan diganti dengan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA).

Menurut satu sumber, di bawah sistem baru itu, kemasukan kakitangan untuk kategori itu akan dilakukan secara lateral.

Buat sementara, difahamkan lima buah kementerian telah dikenal pasti untuk dilaksanakan kaedah itu.

Dalam pada itu, Utusan juga difahamkan di bawah program itu, kesemua KSU akan dikehendaki meletak jawatan dan memohon semula secara kontrak. Prestasi mereka akan dinilai dalam tempoh kontrak tersebut.

Dalam proses ini, menurut sumber itu, pihak dalam dan luar daripada perkhidmatan awam juga boleh memohon untuk mengisi jawatan tersebut.

sumber : Utusan Online

Friday, October 7, 2011

1.2j penjawat awam naik gaji

1.2j penjawat awam naik gaji


KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kira-kira 1.2 juta penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus mulai tahun depan apabila perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 sehingga RM320 setahun mengikut gred ekoran ia tidak pernah disemak sejak 1991.

Bagi pesara pula, beliau berkata, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen melibatkan peruntukan RM600 juta dan mulai tahun 2013 kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

Di dalam bajet kali ini, Najib turut mengumumkan had umur baru bagi persaraan wajib iaitu daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

"Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru," ujar Perdana Menteri.

Selain itu, Najib juga mengumumkan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini selain bayaran khas RM500 kepada semua pesara kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, penyelarasan gaji serta kenaikan kadar kenaikan gaji tahunan itu merupakan salah satu daripada empat elemen Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mula diperkenalkan dalam bajet tahun ini.

"SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi," ujarnya.

Menghuraikan lebih lanjut tiga elemen lagi di dalam SBPA, Perdana Menteri berkata, kenaikan gred berdasarkan time-based (tempoh perkhidmatan) bagi guru akan dikurangkan daripada tahun ke-10 kepada tahun kelapan perkhidmatan.

Beliau berkata, ini bermakna seorang guru akan berada pada gred 44 pada tahun kelapan dan gred 48 pada tahun ke-16.

"Jika mengikut time-based sekarang ia memakan masa 10 tahun tetapi di bawah SBPA ia hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja," katanya lagi.

Satu lagi elemen yang terdapat di dalam SBPA, beliau berkata, gaji maksimum dalam gred ditingkatkan lebih 30 peratus.

"Sebagai contoh di dalam SSM bagi seorang guru gred DG48 gaji maksimumnya adalah RM6,325.39 tetapi di dalam SPBA gaji maksimum akan meningkat 37.7 peratus. Dengan pertambahan itu jumlah gaji maksimum yang baru ialah RM8,710," ujarnya.

Ujar Najib elemen terakhir di dalam SBPA ialah wujudnya dasar pemisah atau 'exit policy' bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan bagi mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan.

sumber :Utusan Online

Lanjut umur bersara ringan beban kerajaan

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Cadangan melanjutkan umur persaraan kakitangan awam daripada 58 kepada 60 tahun merupakan langkah terbaik bagi meringankan beban kerajaan dalam menyediakan ganjaran dan bayaran pencen.

Menurut Ketua Ekonomi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Norasikin Abdul Hamid, ini kerana berdasarkan laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), purata jangka hayat penduduk negara ini telah meningkat kepada 74 tahun antara 1990 dan 2008, berbanding 71 tahun sebelum ini.

"Maka rakyat Malaysia perlu menyimpan lebih untuk membolehkan mereka melalui tempoh persaraan yang lebih lama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam hal itu, katanya, KWSP mengalu-alukan cadangan dalam Bajet 2012 untuk meningkatkan caruman majikan daripada 12 peratus kepada 13 peratus untuk pencarum yang berpendapatan RM5,000 ke bawah kerana ia langkah positif dalam membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli-ahli KWSP.

Ini kerana, katanya, kajian menunjukkan bahawa hampir 70 peratus daripada pesara menggunakan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas persaraan.

"Peningkatan satu peratus itu melibatkan lebih 5.3 juta ahli-ahli KWSP. Cadangan ini akan meningkatkan jumlah simpanan persaraan mereka.

"Di samping itu, keputusan kerajaan untuk melanjutkan pelepasan cukai sehingga RM6,000 dan insurans hayat Skim Persaraan persendirian juga merupakan langkah terbaik dalam memastikan kebajikan pesara dalam meningkatkan simpanan persaraan mereka," katanya

Friday, September 23, 2011

Kakitangan awam diramal naik gaji lagi

Kakitangan awam diramal naik gaji lagi
Oleh S Anand Kumar

2011/09/24

Berita baik dijangka diumum PM dalam Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.
Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.
Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.
Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang dikaji secara terperinci oleh JPA.

Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau (Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya.


sumber :  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kakitanganawamdiramalnaikgajilagi/Article

Monday, August 8, 2011

Kerajaan Umum Bonus Setengah Bulan Untuk Penjawat Awam, RM500 Untuk Pesara

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajian penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga merupakan satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam," kata Najib.

Katanya pemberian bonus dan bayaran khas itu akan melibatkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.

-- BERNAMA

Thursday, August 4, 2011

Cuepacs terus minta kerajaan timbang bonus

04/08/2011 6:33pm

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.

Beliau berkata, Cuepacs telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua bulan lepas dan mengharapkan berita baik itu diumumkan tidak lama lagi.

"Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama


Sumber : Utusan

Friday, July 15, 2011

Cuepacs Mohon Kerajaan Pertimbang Bonus Dua Bulan

KUANTAN, 15 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu dan mengharapkan berita baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet Oktober ini.

"Kami telah menghantar surat memohon dua bulan bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi keseluruhan penjawat awam, namun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

"Penjawat awam harapkan sesuatu tahun ini kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada yang mendapat sehingga lapan bulan bonus sedangkan kita penjawat awam yang betul-betul di bawah kerajaan persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan hanya dapat bantuan khas RM500," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan kali ke-24 Anulae cawangan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, Jumaat.

Beliau berkata pemberian bonus yang kali terakhir diberi pada dua tahun lepas perlu dipertimbangkan berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.

Selain itu katanya, produktiviti penjawat awam juga semakin meningkat sehingga ada kementerian dan jabatan yang berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Kita mahu tekankan produktiviti, nak naikkan semangat sayangkan kerja...mesti ada insentif," katanya.


-- BERNAMA